COVID-19: Tidak Perlu Ke Balai Polis Malam Ini

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. 

KUALA LUMPUR: Polis menangguh sementara arahan orang ramai mesti mendapat kebenaran jika mahu keluar dari negeri masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dalam satu kenyataan malam ini, memaklumkan tindakan itu dibuat untuk menyelesaikan kesesakan yang berlaku di balai polis di seluruh negara, selepas arahan yang dikeluarkan pihaknya petang tadi itu.

“Memandangkan orang ramai berpendapat bahawa mereka boleh melakukan pergerakan jika mereka mendapat kelulusan daripada pihak polis, berlakulah kesesakan yang serius di balai polis dan juga perhentian bas.

“Walhal hanya mereka yang layak diberi pengecualian atas empat, iaitu kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat, mendapatkan rawatan perubatan untuk diri sendiri dan ahli keluarga serta perkara lain yang tertakluk atas budi bicara ketua polis balai boleh, dipertimbangkan untuk diberi kebenaran untuk pergerakan rentas negeri,” katanya.

Justeru, katanya perintah kawalan pergerakan membabitkan perjalanan merentas negeri itu ditangguhkan sementara waktu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *