Covid-19: Sabah Antara Lima Negeri Pembangkang Tidak Dijemput Mesyuarat

KOTA KINABALU: Mesyuarat antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri hari ini tidak menjemput ketua kerajaan di lima negeri yang tidak menyokong Kerajaan Persekutuan.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat itu tidak disertai Menteri Besar Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Sabah dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, PH melahirkan rasa kesal dengan tindakan Kerajaan Persekutuan yang membelakangkan kelima-lima negeri berkenaan sedangkan jangkitan Covid-19 turut berlaku di negeri-negeri berkenaan.

“Pakatan Harapan merakamkan rasa kesal di atas tindakan Putrajaya tidak menjemput Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri ini.

“Jika ianya kerana mereka mentadbir kerajaan-kerajaan negeri yang tidak sehaluan dari segi politik dengan Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang, maka tindakan kepartian sempit ini amatlah merugikan rakyat.

“Umum sedia maklum bahawa kelima-lima negeri ini merangkumi hampir 40 peratus seluruh penduduk di Malaysia, dan sejumlah besar kes COVID-19 ini turut berlaku di negeri-negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut PH, tindakan kawalan wabak COVID-19 yang tidak mengambil kira sebahagian wilayah dalam negara pasti akan menggagalkan usaha pengawalan itu.

Oleh itu katanya, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menggesa Putrajaya untuk segera memanggil pertemuan bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri ini, demi kemaslahatan dan keselamatan warga negeri-negeri tersebut. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *