COVID-19: 117 Kes Baharu Dicatat Hari Ini, 80 Dari Kluster Himpunan Tabligh

Sebanyak 20 kes dilaporkan positif berhubung dengan himpunan tabligh Masjid Jamek Seri Petaling. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Terdapat 117 kes baharu yang telah dilaporkan setakat 12 tengah hari Rabu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 790 kes.

Berdasarkan siasatan awal, sebanyak 80 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Sehingga kini, seramai 15 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020, satu warta telah dikeluarkan [P.U.(A) 87 bertarikh 17 Mac 2020] memaklumkan semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia telah diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

Ia selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sehubungan dengan itu juga, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah digubal dan diwartakan [P.U. (A) 91 bertarikh 18 Mac 2020].

Peraturan ini menjelaskan perkara-perkara yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh orang awam berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Individu yang melanggar mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-peraturan tersebut adalah melakukan satu kesalahan, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM1,000 ATAU dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya. Perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 7 (1) di bawah Peraturan-Peraturan yang sama.

Sumber: Awani Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *