Rakyat Sabah Di Semenanjung Dapatkan Kebenaran Polis Sebelum Balik Kampung

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah di Semenanjung yang merancang untuk balik ke Sabah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan perlu mendapatkan terlebih dahulu dokumen perjalanan daripada balai polis berhampiran dengan kediaman masing-masing ketika ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, arahan tersebut turut terpakai kepada mana-mana rakyat Malaysia di Semenanjung yang hendak melakukan perjalanan dari satu negeri ke negeri lain bermula esok hingga 31 Mac depan.

“Mereka perlu memaklumkan ketua polis balai terdekat mengenai hasrat dia itu dan kita akan berikan mereka dokumen yang menjelaskan bahawa pembawa dokumen ini telah pun memaklumkan kepada pihak polis bahawa ia perlu membuat perjalanan ini atas sebab-sebab sedemikian,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur petang ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 bagi mengekang penularan Covid-19.

Melalui perintah itu, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara diaktifkan termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Abdul Hamid berkata, borang-borang kebenaran perjalanan itu telah disediakan di semua 156 ibu pejabat polis daerah (IPD) seluruh negara dan balai-balai polis yang ada.

“Kecuali kalau mereka hendak balik ke Sarawak mungkin ada sekatan di situ di mana mereka perlu dikuarantin, itu terpualng kepada kerajaan negeri masing-masing,” katanya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *