Kampung Tiada Elektrik Dorong Belajar Pasang Solar Panel

Inggai belajar cara memasang solar panel, komponen, panel dan bateri sepanjang menjalani kursus enam bulan di India. – Ihsan Inggai Suging

KOTA KINABALU: Kegigihan seorang wanita yang inginkan kampungnya menikmati bekalan elektrik membuatkan Inggai Suging, 55, seorang petani dan suri rumah sanggup menjalani kursus cara pemasangan solar panel di India selama enam bulan.

Wanita yang berasal dari Kampung Paus, Ranau itu menerima Anugerah Wanita Cemerlang dalam majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah bertempat di Sabah International Convention Centre ( SICC ), baru-baru ini.

Inggai berkata, kampungnya dan kawasan sekitar yang tidak mempunyai elektrik mendorong beliau untuk ke India untuk menjalani kursus berkenaan.

Inggai Suging, seorang petani dan suri rumah sanggup menjalani kursus cara pemasangan solar panel di India selama enam bulan. – Ihsan Inggai Suging

“Kampung saya dan sekitarnya sudah lama mengalami masalah ketiadaan elektrik. Jadi, hidup dengan memakai pelita tanpa elektrik adalah satu perkara biasa di Kampung Paus. Bekalan air di tempat saya tidak mempunyai sebarang masalah.

“Terdapat sekitar 200 rumah yang mempunyai masalah elektrik. Bagi keluarga yang berkemampuan, mereka memakai generator elektrik di rumah mereka bagi mendapatkan elektrik.

“Anak saya bergantung dengan pelita untuk belajar dan mengulang kaji di rumah dalam keadaan malap. Malah, saya juga beberapa kali melahirkan anak di rumah dalam keadaan gelap tanpa elektrik. Perkara ini berlanjutan selama bertahun lamanya.

Inggai berkata, kampungnya dan kawasan sekitar yang tidak mempunyai elektrik mendorong beliau untuk ke India untuk menjalani kursus. – Ihsan Inggai Suging

“Hingga pada satu hari, Persatuan Sabah Women Entrepreneurs and Professionals Association (SWEPA) mencari wanita yang ingin dihantar menjalani kursus memasang solar panel di India.

Ibu kepada 12 orang anak itu berkata, beliau menjadi satu-satunya wakil yang dihantar persatuan terbabit untuk menjalani kursus memasang solar panel itu.

“Asalnya dari kampung saya terdapat lapan orang yang mendaftar untuk menjalani kursus itu, termasuk saya tetapi akhirnya semua mengundur diri dan hanya saya memberanikan diri menjalani kursus itu. Malah, hanya saya satu-satunya wakil dari Malaysia untuk berkursus di sana.

“Orang lain yang pada mulanya mendaftar, menarik diri pada saat-saat akhir kerana mereka ditakutkan dengan pelbagai andaian sekiranya pergi ke India. Namun berbeza dengan saya langsung tidak takut.

Inggai bersama rakan peserta dari pelbagai negara yang mengikuti kursus pemasangan solar panel di India. – Ihsan Inggai Suging

“Saya menjalani kursus berkenaan bermula 14 September lalu dan balik pada 15 Februari lalu. Perjalanan dan sara hidup saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh persatuan,” katanya.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai pengalaman beliau, antara cabaran besar beliau hadapi di sana adalah komunikasi.

“Sepanjang saya menjalani kursus di sana, antara cabaran saya hadapi di sana adalah kesukaran berkomunikasi memandangkan saya langsung tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Boleh dikatakan komunikasi saya dengan orang dalam kursus terbabit bagaikan ayam dan itik.

“Oleh itu, saya hanya mampu berkomunikasi menerusi bahasa isyarat. Selain itu, saya seorang petani tanpa latar belakang bidang pemasangan elektrik dan yang berkaitan. Tapi saya kuatkan hati demi belajar memasang solar panel di sana.

“Dalam kursus itu, kami belajar cara memasang solar panel, komponen, panel dan bateri.

“Selain saya, terdapat 60 peserta dari pelbagai negara yang mempunyai masalah sama seperti dialami kampung saya turut berkursus di sana,” katanya.

Inggai berkata, kepulangannya dari India selepas menjalani kursus itu adalah bagi mengajar dan membimbing orang lain di kampungnya cara memasang solar panel.

“Selepas saya kembali ke tanah air, saya diminta mengajar orang lain untuk memasang solar panel terbabit. Persatuan merancang bengkel dan sudah ada jawatankuasa khas juga ditubuhkan.

“Pada masa sekarang, peralatan dan komponen solar panel itu telah dipesan, tetapi masih dalam proses penghantaran kerana penghantarannya belum sampai lagi dari India ke sini kerana jarak yang jauh,” katanya.

Inggai menjadi satu-satunya wakil yang dihantar SWEPA untuk menjalani kursus memasang solar panel. – Ihsan Inggai Suging

Ditanyakan mengenai perasaan beliau menerima anugerah semalam, Inggai menyatakan beliau sangat bersyukur.

“Saya pada mulanya berasa terkejut, tetapi pada masa yang sama saya juga bersyukur kerana diberikan penghargaan seumpama ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *