TERKINI: Sebanyak 49 Kes Positif Covid-19 Direkokan Di Sabah Setakat Ini

Statistik Kementerian Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat yang dikeluarkan 7 malam tadi.

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 23 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 49 kes setakat hari ini

Kementerian Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat dalam satu kenyataan pada 7 malam tadi memaklumkan 23 kes itu merupakan tambahan kepada 26 kes positif Covid-19 yang direkodkan semalam.

Daripada jumlah itu, 44 orang merupakan warga Malaysia termasuk seorang perempuan manakala, lima individu adalah warga Indonesia.

Di Sabah, daerah Lahad Datu merekodkan jumlah kes positif tertinggi setakat ini dengan 14 kes, diikuti dengan Kota Kinabalu sembilan kes dan Tawau lapan kes.

Manakala, lima kes di Kinabatangan, tiga kes di Tuaran, dua kes masing-masing di Kunak, Putatan dan Sandakan. Satu kes masing-masing di Beaufort, Kota Belud, Papar dan Sipitang.

Semalam, kesemua 26 kes yang direkodkan di Sabah merupakan peserta yang mengikuti Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 3 Mac lalu.

Berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, kes positif di Sabah ini merupakan kes tertinggi membabitkan peserta perhimpunan tabligh yang direkodkan di seluruh Malaysia.

Daripada 77 kes positif berkaitan perhimpunan mubaligh setakat semalam, 26 adalah di Sabah, 11 kes di Negeri Sembilan, Sarawak enam kes, lima kes masing-masing di Johor, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang. Manakala, Kelantan tiga kes, masing-masing dua kes di Perak, WP Labuan, Pahang, Kedah dan WP Kuala Lumpur & Putrajaya; serta satu kes di Perlis.

Pada hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan terdapat sebanyak 190 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 428 kes termasuk 42 kes yang telah sembuh.

Untuk hari ini, tujuh kes telah sembuh dan discaj dan 386 kes masih dirawat di hospital seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sembilan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang memerlukan bantuan pernafasan.

Sebahagian besar kes baharu ini berkaitan dengan kes kluster Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *