Sabah Tertinggi Rekod Positif COVID-19 Berkaitan Perhimpunan Tabligh

Dr. Noor Hisham Abdullah

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan jumlah tertinggi kes positif COVID-19 yang berkaitan dengan jemaah tabligh menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, daripada 77 kes positif, sebanyak 26 kes dikesan di Sabah.

Menurutnya, kesemua 77 kes berkenaan masih dirawat di hospital termasuk satu kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dalam keadaan stabil.

Katanya, selain Sabah negeri lain yang merekodkan kes positif COVID-19 berkaitan dengan perhimpunan itu termasuklah Negeri Sembilan 11 kes, Sarawak enam kes, masing-masing lima kes di Johor, Melaka, Selangor, dan Pulau Pinang.

“Tiga kes lagi di Kelantan manakala Perak, Wilayah Persekutuan Labuan, Pahang, Kedah, Kuala Lumpur, dan Putrajaya masing-masing dua kes selain Perlis dengan satu kes,” katanya.

Beliau berkata, setakat jam 7 malam 14 Mac 2020, seramai 4,942 peserta perhimpunan berkenaan berjaya dikenal pasti.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 3,069 datang ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan serta 137 lagi dirujuk ke hospital.

Noor Hisham berkata, hanya 1,634 kes yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan diambil sampel.

“Seramai 2,932 peserta diarahkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing dalam tempoh 14 hari dari tarikh akhir mereka menghadiri perhimpunan berkenaan.

“Penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan masih diteruskan,” jelasnya.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *