TERKINI: Kes Positif Covid-19 Di Sabah Meningkat Kepada 15

KOTA KINABALU: Kes positif Covid-19 di Sabah meningkat kepada 15 orang termasuk seorang invdividu warga Indonesia.

Kesemua 15 kes itu merupakan peserta yang mengikuti Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 3 Mac.

Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga hari ini, sebanyak 412 kes pesakit yang disyaki (PUI) direkodkan di Sabah, namun hanya 380 sampel diambil.

Frankie Poon

Daripada 380 sampel itu, 15 daripadanya disahkan positif Covid-19 membabitkan 14 adalah warga tempatan dan seorang warga Indonesia. Manakala, 365 sampel disahkan negatif.

Sehingga hari ini, 340 orang warga tempatan telah diletakkan di bawah PUI di Sabah diikuti 50 warga China, sembilan warga Indonesia dan selebihnya dari pelbagai negara termasuk Hong Kong, Filipina, Jordan, Myanmar, Bangladesh, Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan Pakistan.

“Sekiranya mempunyai gejala demam, kesukaran bernafas, batuk dan selsema, anda dinasihatkan pergi ke hospital kerajaan berhampiran untuk rawatan.

“Jika anda mempunyai kontak dengan pesakit PUI atau mereka yang baru pulang dari negara-negara yang terjejas Covid-19, pastikan anda menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari,” katanya.

Berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes positif di Sabah ini merupakan antara 40 kes membabitkan peserta perhimpunan tabligh yang direkodkan di seluruh Malaysia sehingga kini.

https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1078601729193802&id=256784744708842

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *