Sabah Catat 26 Kes Positif COVID-19

Dr. Christina Rundi

 … Dengan 11 kes baharu dicatat pada 14 Mac 2020

KOTA KINABALU: Sebanyak 11 kes baharu COVID-19 disahkan positif di negeri ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif COVID-19 sebanyak 26 kes.

Jumlah kes baharu terbabit menjadikan Sabah negeri yang merekodkan kes positif baharu tertinggi pada 14 Mac 2020.

Laporan berkenaan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu pada jam 6.30 petang ini (Sabtu).

Bagaimanapun, kes baharu terbabit tidak dinyatakan melibatkan daerah mana dan jumlah pesakit di bawah siasatan (PUI) setiap kawasan yang terlibat.

Terdahulu Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan setakat jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 41 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan membabitkan 37 kes PUI dan empat kes dari kalangan kontak rapat.

Dengan pertambahan 41 kes terbabit, Malaysia kini merekodkan sebanyak 238 kes keseluruhannya termasuk 203 kes masih dirawat di wad iaitu lima daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sehingga kini, Sabah negeri ketiga merekodkan jumlah kes positif COVID-19 tertinggi selepas Selangor den gan 92 kes dan Kuala Lupuir sebanyak 43 kes.

Dalam pada itu Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr. Christina Rundi meminta orang ramai supaya memberi kerjasama kepada semua pejabat kesihatan di seluruh daerah bagi membantu menangani penularan wabak terbabit.

Christina turut mengingatkan orang ramai supaya tidak perlu panik dan terus mengikut saranan untuk menjaga tahap kebersihan yang tinggi dengan kerap mencuci tangan menggunakan sabun.

“Bagi sesi perjumpaan atau majlis yang melibatkan orang ramai elakkan diri dari bersalaman atau berjabat tangan dengan orang lain.

“Sekiranya bergejala seperti demam dan sesak nafas elakkan mengunjungi tempat-tempat awam bagi mengurangkan penularan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh titisan sekresi pernafasan (respiratory droplet) dalam kalangan komuniti.

“Anda juga perlu segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala seperti kesukaran bernafas dan demam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *