Covid-19: Anggota Keluarga Jemaah Tabligh Dari Sabah Digesa Jumpa Pegawai Kesihatan

Kerajaan Sabah juga mengumumkan penutupan sementara masjid dan surau yang dikunjungi oleh anggota jemaah tabligh untuk tujuan disinfeksi. (Gambar RTM)

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan penutupan sementara masjid dan surau yang dikunjungi anggota jemaah tabligh yang hadir ijtimak kumpulan itu di masjid Seri Petaling, untuk tujuan disinfeksi.

Pejabat Setiausaha Kerajaan juga menggesa ahli keluarga kumpulan itu yang berhubung dengan anggotanya tampil ke depan dan memberi makluman kepada pegawai kesihatan.

Notis pemakluman yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu juga berkata, arahan tersebut adalah lanjutan daripada perintah larangan sementara yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Sabah ke atas perhimpunan di masjid dan surau di seluruh negeri itu bagi meminimumkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan orang ramai.

Jumlah jangkitan Covid-19 di Sabah melonjak daripada 15 kepada 26, dengan 11 kes baru dicatatkan hari ini.

Pegawai kesihatan negeri bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi jangkitan itu dikesan.

Notis itu juga menyebut 4 pusat tabligh di Kota Kinabalu, Beaufort, Tawau dan Sandakan ditutup untuk tujuan disinfeksi.

“Semua anggota jemaah tabligh yang mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung dengan anggotanya yang menghadiri perhimpunan di masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac, serta ahli keluarga mereka diminta tampil ke depan dan memberi makluman kepada pegawai kesihatan kerajaan dengan segera.

“Mana-mana masjid dan surau yang dikunjungi anggota jemaah tabligh juga akan ditutup sementara untuk kerja-kerja disinfeksi.

“Langkah itu akan diselaraskan dengan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri, Jabatan Kesihatan dan kerajaan tempatan,” katanya.

Semalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menggesa penggantungan semua perhimpunan melibatkan lebih 50 orang berikutan pengesahan kes Covid-19 pertama di negeri itu.

Setiausaha kerajaan Safar Untong juga menasihati mereka yang mempunyai jadual mesyuarat di luar Sabah supaya mengadakannya melalui sidang video atau kaedah komunikasi digital lain.

Safar juga menasihati mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh di masjid Seri Petaling supaya menghubungi klinik kesihatan berdekatan.

Sabah mencatatkan kes Covid-19 pertamanya semalam selepas Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memaklumkan seorang lelaki berumur 58 tahun dari Tawau adalah antara individu disahkan positif virus itu selepas menghadiri perhimpunan tabligh dari 27 Feb hingga 1 Mac. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *