Sabah Kuat Kuasa Langkah Cegah Covid-19

Kakitangan Hospital Tawau mendirikan khemah pemeriksaan kesihatan berhampiran bilik kecemasan sebagai langkah siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan penularan Covid-19. Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyenaraikan beberapa langkah bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di Sabah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong pada kenyataan hari ini berkata, rakyat Sabah yang menghadiri program tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini diminta segera membuat pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran.

“Selain itu, perhimpunan yang membabitkan lebih 50 individu hendaklah ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19,” katanya.

Safar turut menyenaraikan langkah pencegahan membabitkan sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pegawai sektor awam, swasta atau mana-mana NGO yang perlu menghadiri mesyuarat di luar Sabah digalakkan untuk menggunakan sidang video atau saluran komunikasi digital lain.

“Semua penjawat awam di Sabah, syarikat berkaitan kerajaan dan orang awam diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengawalan penularan Covid-19 dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya

Beliau turut mengingatkan rakyat Sabah untuk menjaga kebersihan diri, mengamalkan kuarantin kendiri selain elakkan diri berada di tempat awam jika mempunyai simptom seperti demam, batuk dan sukar bernafas.

Rakyat Sabah juga dinasihati untuk menangguhkan sementara perjalanan ke luar negara jika tiada urusan mendesak dan elakkan diri daripada mengunjungi negara dan negeri lain di Malaysia yang sedang mengalami wabak berkenaan.

Safar juga menggalakkan rakyat Sabah untuk tidak berjabat tangan sebagai langkah pencegahan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *