Jamaah Tabligh Dari Sabah Perlu Dikuarantin – Shafie

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah meminta kerjasama polis dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) dalam mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak penularan wabak coronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu penting berikutan insiden yang difahamkan membabitkan penduduk dari Tawau yang baru pulang dari menghadiri himpunan tabligh di Kuala Lumpur yang dikhuatiri dijangkiti Covid-19.

Kerisauan itu timbul selepas seorang lelaki warga Malaysia yang menghadiri himpunan itu didapati positif Covid-19.

Beliau berkata, mereka yang terlibat ini akan dipastikan supaya dikuarantin dengan baik sekiranya mereka berada di negeri ini.

“Sekiranya mereka datang dari tempat tertentu, kita akan menggunakan template sedia ada yang mempunyai prosedur ditetapkan bagi membendung penularan wabak ini.

“Saya berharap pihak berwajib akan mengambil tindakan tegas dan tersusun untuk membolehkan keadaan ini ditangani dengan baik.

“Sekiranya ada antara mereka ini didapati positif, kita sudah ada tempat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) dan mempunyai doktor yang akan ditempatkan jika perlu,” katanya ketika mengulas mengenai dakwaan terdapat dari Tawau yang menghadiri himpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur yang dikatakan terdapat peserta yang positif Covid-19.

Menurutnya, rakyat di negeri ini harus mengelakkan diri daripada menyertai himpunan yang besar kerana berkemungkinan ada yang dijangkiti Covid-19 berada dalam himpunan sebegitu.

Beliau memberi jaminan bahawa di peringkat negeri, sudah ada langkah-langkah yang akan diambil bagi mengelakkan penularan wabak ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha mengesan lebih 5,000 jemaah tabligh Malaysia termasuk 350 orang difahamkan dari Tawau yang terlibat dalam perhimpunan berkenaan yang diadakan pada 27 Februari hingga 1 Mac.

Pegawai Pejabat Kesihatan Tawau, Dr G.Navindran memaklumkan, seorang daripada 350 jemaah tabligh dari Tawau yang menghadiri himpunan itu sedang dikuarantin di Hospital Tawau.

Oleh itu, mana-mana jemaah lain yang mengalami gejala supaya melakukan saringan kesihatan dengan segera. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *