‘Tun, Saya Mohon Maaf’ – Muhyiddin

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menaruh harapan untuk bersemuka dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menamatkan konflik peribadi di antara mereka, selepas mesyuarat tergempar Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), pada 23 Februari lalu.

Perdana Menteri menyatakan beliau tetap berharap bekas Perdana Menteri itu sudi bertemunya bagi memohon maaf dan berdamai bagi meleraikan sengketa di antara mereka.

Hasrat Muhyiddin itu dikongsikan kepada umum pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri pertama di sini.

“Saya bersedia bertemu Tun pada bila-bila masa demi kepentingan negara. Saya sudah menulis surat kepada Tun untuk berjumpa dan saya kongsikan di sini apa yang saya ingat kandungan surat itu.

“Pertama, saya doa Tun dan keluarga sihat walafiat. Yang kedua, paranya saya kata sekiranya dalam tempoh beberapa hari lalu perkara yang telahpun dilakukan menyinggung perasaan Tun, saya mohon maaf.

“Para ketiga saya mohon kalau ada masa untuk saya bertemu dengan Yang Amat Berbahagia Tun, tapi telah terima jawapan beliau kata belum sampai masa untuk berjumpa,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini menegaskan beliau enggan bertemu Muhyiddin dan meletakkan syarat sedia bertemu jika Perdana Menteri tidak bekerjasama dengan UMNO membentuk kerajaan.

Muhyiddin turut berkata, beliau juga membayangkan Dr Mahathir akan mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baharu dibentuk bersama kerjasama Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kami telah bentuk kerajaan ini dan mahu Tun untuk mengiktiraf kerajaan, iaitu kerajaan untuk rakyat. Ia adalah (kerajaan) yang sah. Ia kerajaan yang ditubuh mengikut Perlembagaan,” katanya.

Perdana Menteri turut berterima kasih kepada Dr Mahathir yang menyifatkan kerajaan PN di bawah terajunya akan kekal sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Tun kata Kabinet ini akan bertahan sehingga diadakan PRU akan datang. Terima kasih kepada Tun atas komen beliau itu.

“Rakyat berharap kerajaan ini akan berkhidmat dengan baik dan kami berjanji kami akan berkhidmat dengan baik.

“Jika anda mahu diadakan pilihan raya mengejut, saya tidak mahu itu. Ini bukan masa yang sesuai. Kami berada di sini untuk berkhidmat. Saya harap semua orang bukan hanya Tun sahaja, untuk memberikan dorongan kepada kami semua untuk melakukan yang terbaik untuk semua,” katanya.- Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *