Pemandu Teksi Mabuk Dipenjara & Denda RM2000

Tertuduh (tiga dari kiri) dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM2000 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol. Gambar Abdul Rahemang

TAWAU: Seorang pemandu teksi dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM2,000 selepas mengaku salah memandu dalam keadaan mabuk di Mahkamah Majistret Tawau.

Anuar Mohd Sabir, 57, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tambahan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Anuar didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 3 Jalan Apas, kira-kira jam 1.15 pagi pada 2 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM6,000 dan dipenjarakan tidak melebihi 12 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Joan dalam hujahnya menegaskan kes membabitkan pemandu mabuk semakin meningkat bukan saja di daerah ini malah di seluruh negara.

Tegasnya, tertuduh sebagai seorang pemandu teksi yang membawa penumpang dalam keadaan mabuk bukan saja membahayakan diri sendiri tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain.

Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol.- Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *