Pasaraya Tertua Di Sandakan Musnah Terbakar

SANDAKAN: Pasar raya borong Wong Yung Kee di Batu 3, di sini musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Kebakaran yang dilaporkan berlaku bermula pukul 11.30 malam menyebabkan bangunan empat tingkat itu musnah sepenuhnya dengan bomba mengambil masa sehingga lapan jam untuk mengawal api.

Pasar raya itu antara pasar raya tertua di daerah ini.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan, Martin Thomas, berkata anggota bomba berdepan kesukaran untuk memadam kebakaran susulan tekanan rendah pada air pili bomba.

“Kami perlu mendapatkan air daripada pili bomba yang terletak 500 meter dari bangunan.

“Operasi perlu dikendalikan defensif kerana bangunan tidak selamat dimasuki,” katanya di sini, hari ini.

Martin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.39 malam dan menghantar 23 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, dua jentera bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digunakan dal operasi berkenaan.

“Kita hanya dapat mengawal api pada jam 7.43 pagi. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *