Jawatankuasa Disiplin PKR Bermesyuarat Tentang Kedudukan Jonathan

KOTA KINABALU : Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan bermesyuarat membincangkan pelantikan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yassin sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew berkata, wakil rakyat PKR itu perlu menjelaskan tentang pendirian politiknya kepada parti.

“Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib PKR akan membuat satu mesyuarat dan salah seorang yang harus menjawab persoalan daripada jawatankuasa PKR ialah Jonathan.

JONATHAN YASSIN

“Dia harus memperjelaskan dirinya sama ada dia masih dalam parti ini atau tidak.

“Sekiranya dia tidak lagi menyertai parti ini, parti apa yang beliau akan sertai? Jika beliau masih  ingin bersama PKR, banyak yang perlu beliau jelaskan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin mengumumkan nama Jonathan di dalam barisan Kabinet baharu beliau.

Pengumuman itu seolah-olah menjawab persoalan tentang status politik Jonathan yang sebelum ini ‘menghilang’ dan dikatakan antara pemimpin yang meninggalkan PKR untuk menyokong kerajaan.

Khamis lalu, Jonathan juga tidak hadir ketika semua wakil rakyat Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan (PH) Sabah hadir menyatakan pendirian untuk menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tambahnya, terdapat beberapa lagi ahli PKR yang akan dipanggil untuk menyertai mesyuarat tersebut demi memastikan semua persoalan dijelaskan.

Walau bagaimanapun, Liew akui jawatan yang disandang oleh Jonathan itu mampu memberi akses kepadanya untuk membantu negeri ini seperti mengusir  pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menolak dasar-dasar yang tidak baik untuk negeri ini.

“Beliau kini bersama dengan kerajaan di mana beliau mempunyai akses kepada keputusan membuat dasar.

“Kami berharap beliau akan memberi perkhidmatan yang baik kepada Sabah dengan membuat penyelidikan atau kajian mengenai  imigresen, undang-undang dan sebagainya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau kurang berpuas hati mengenai jawatan yang dipegang Jonathan, Liew mendedahkan beliau menghormati jawatan yang disandang itu kerana jawatan tersebut memberi akses kepada undang-undang yang kurang disenangi oleh rakyat Sabah.

“Saya hormati jawatan tersebut kerana sesiapa yang menduduki jawatan tersebut mempunyai akses kepada undang-undang yang kurang disenangi oleh Sabah sekaligus berpeluang untuk membuat sesuatu mengenai hal itu.

“Mengenai Jonathan, secara peribadinya,  biarkan Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib PKR untuk mengurus hal itu,” katanya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *