ESSCOM Tahan 42 PATI Dalam Ops Gasak Laut Di Kunak

KUNAK: Seramai 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Gasak Laut Siri 3, di tiga perkampungan atas air, di sini hari ini.

Dalam operasi pukul 3.30 pagi itu, semua PATI yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki, 18 wanita termasuk lima kanak-kanak berumur antara 3 hingga 63 tahun.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi itu dilakukan bertujuan mengekang kemasukan dan kewujudan Pati yang disyaki menjadi tali barut kepada kumpulan penculik rentas sempadan.

“Berdasarkan risikan kumpulan penjenayah rentas sempadan ini sering menjadikan perkampungan atas air sebagai lokasi persembunyian mereka sebelum melakukan jenayah.

“Justeru, dalam operasi kali ini, serbuan dan pemeriksaan dilakukan di Kampung Pangi, Hampilan dan Pangkalan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Seramai 187 orang diperiksa dalam operasi tersebut dan 42 daripadanya ditahan kerana tidak mempunyai dokumen atau meragukan.

“Semua suspek dihantar ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk pemeriksaan lanjut sebelum disahkan sebagai Pati.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tambah Hazani, operasi yang disertai Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut melakukan operasi pemotongan bekalan di rumah setinggan yang dikesan membuat penyambungan elektrik secara haram.

“Esscom akan mempergiat lebih banyak operasi sebegini dari semasa ke semasa dalam usaha memburu saki baki tali barut penjenayah rentas sempadan,” katanya.

Selain JIM dan SESB, operasi tersebut turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rejimen Askar Melayu Diraja, Angkatan Tugas Bersama (ATB), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Daerah Kunak membabitkan 206 pegawai dan anggota. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *