139 PATI Warga Indonesia Diusir Hari Ini

Sebahagian PATI warga Indonesia yang diusir pulang melalui Terminal Feri Tawau. FOTO Ihsan MKN Sabah

TAWAU: Seramai 139 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka hari ini.

Program pengusiran dan penghantaran pulang PATI itu adalah siri ke-13 untuk tahun ini yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi kerajaan yang lain.

Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, berkata kesemua PATI berkenaan diusir melalui jalan laut menggunakan perkhidmatan feri penumpang dari Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Tunon Taka, di Nunukan Indonesia pada jam 1 tengah hari.

Beliau berkata, sehingga Mac tahun ini sahaja, seramai 3,186 orang PATI termasuk warga negara India, China, Pakistan dan Vietnam diusir ke negara asal yang diselaraskan JIM Sabah dan menjadikan jumlah pengusiran sejak 1990 berjumlah seramai 594,442 orang.

“MKN komited dalam melaksanakan pengusiran dan menghantar pulang PATI demi menunaikan amanah dan kepercayaan rakyat yang tidak mahu melihat negara dan negeri ini dibanjiri dengan kehadiran pendatang asing.

“Kerjasama daripada masyarakat juga adalah amat perlu selain orang awam diminta supaya tidak bersekongkol melindungi mereka (PATI),” katanya menerusi kenyataan media hari ini. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *