Ahli UMNO Sabah Marah Tiada Wakil Dalam Kabinet – BUNG

KOTA KINABALU: UMNO Sabah kesal kerana tiada pemimpin daripada parti itu dilantik ke dalam Kabinet Persekutuan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata, parti itu telah meminta agar sekurang-kurangnya satu jawatan timbalan menteri diberikan, namun tidak diperoleh.

“Ramai ahli parti marah kerana tiada Ahli Parlimen UMNO Sabah dilantik.

“Saya telah meminta Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin diberikan sekurang-kurangnya timbalan menteri tetapi kami tidak dapat,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu seperti dilaporkan hari ini.

Bung dan Mohamad adalah dua Ahli Parlimen UMNO di Sabah.

Katanya, rasa tidak gembira timbul apabila dua Ahli Parlimen Bersatu Sabah diberikan jawatan dalam Kabinet iaitu Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai menteri penuh dan Datuk Abdul Rahim Bakri sebagai timbalan menteri.

Bagaimana kata Bung, beliau faham Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogatif untuk melantik ahli Kabinet beliau.

“Saya telah menyeru semua ahli parti bertenang, kami perlu terima keputusan Perdana Menteri.

“Kami perlu bekerja seperti biasa untuk kembali menang di Sabah,” katanya.

Berikutan keputusan Perdana Menteri itu, beberapa ahli UMNO Sabah membangkitkan isu berkenaan di media sosial.

Mereka mendakwa UMNO Sabah telah bekerja keras untuk menang di Parlimen Kimanis tetapi usaha itu tidak dihargai.

Menurut mereka, jika Bung tidak boleh diberikan jawatan kerana berdepan kes rasuah, sekurang-kurangnya Mohamad dapat dilantik.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *