ESSCom Teruskan Ops Gasak, Basmi Kehadiran PTI Di ESSZone

Kumpulan anggota yang melaksanakan Ops Gasak di dua lokasi berasingan di Sandakan.

SANDAKAN: Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PTI) telah ditahan dalam Operasi Gasak yang diancarkan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di dua lokasi secara berasingan, awal pagi Ahad.

Antara kawasan yang menjadi sasaran operasi pada kali ini ialah Kampung Forest dan Pusat Bandar Sandakan.

Komander ESSCom Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan di sini berkata, Ops Gasak diteruskan di kawasan ESSZone antara lain bertujuan untuk membasmi  kehadiran PTI di lokasi-lokasi panas sekaligus membebaskan daerah ini daripada kehadiran PTI yang menjadi punca kepada berlakunya beberapa jenayah di ESSZone seperti jenayah penyeludupan dadah, rokok dan barang-barang terkawal.

Kumpulan anggota yang melaksanakan Ops Gasak di dua lokasi berasingan di Sandakan.

Selain itu, katanya operasi juga bertujuan untuk mengesan dan menghapuskan tali barut kepada kumpulan Kidnapping for Ransom (KFR) yang disyaki menjadi dalang kepada kes-kes penculikan di kawasan pantai timur Sabah.

Beliau berkata, dalam operasi yang dilancarkan pada jam 3.30 pagi hingga 12 tengah hari itu, pasukan keselamatan telah memeriksa seramai 99 orang dan 25 orang daripadanya telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan.

“ESSCom telah memeriksa seramai 99 orang dan setelah proses tapisan dokumentasi dibuat oleh pegawai Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara, seramai 74 telah dibebaskan kerana mempunyai dokumen manakala selebihnya 25 orang PTI telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua PTI yang terdiri daripada 13 lelaki dan 12 wanita termasuk 2 kanak-kanak perempuan telah dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sandakan untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke negara asal masing-masing.

“Kes ini akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata ESSCom akan memperhebatkan lagi operasi gasak pada tahun ini dalam usaha untuk membasmi kehadiran PATI sekaligus memburu saki baki tali barut KFR di samping meneutralkan kawasan panas daripada sebarang unsur jenayah.

Tambahnya, sekiranya operasi seumpama ini tidak dilaksanakan secara berterusan terutama di kawasan panas dan kawasan tertentu yang disyaki menjadi tempat kegiatan dan persembunyian penjenayah, ia dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara.

Beliau berkata, beberapa ancaman yang telah dikenalpasti dan sering berlaku di kawasan panas di pantai timur Sabah perlu ditangani secara berkesan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada kegiatan jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan kesejahteraan hidup penduduk.

Dalam pada itu, Hazani merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua anggota keselamatan dan awam yang telah terlibat dan membantu menjayakan dalam operasi ini.

“Selain ESSCom, antara agensi keselamatan dan awam yang terlibat yang menjayakan operasi ini adalah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Am Batalion 20, Pasukan Polis Marin, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Perbandaran Sandakan.

“Tanpa kerjasama dan sokongan padu daripada semua agensi yang terlibat, sudah tentu ESSCom akan menghadapi kesukaran dalam melaksanakan operasi ini,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *