Reaksi Pelbagai Sambut Penggabungan Parti Sabah

Bekas ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman (3 dari kiri) menerima kertas perisytiharan penggabungan daripada pemimpin Parti Cinta Sabah Wilfred Bumburing semalam.

KOTA KINABALU: Perjanjian penyatuan ditandatangani 3 parti Sabah untuk bergabung dengan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) disambut reaksi pelbagai daripada penganalisis politik tempatan yang berkata, pembangkang di negeri itu kekal berkecamuk selepas pilihan raya umum ke-14.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung percaya penggabungan parti, yang diketuai bekas menteri luar Anifah Aman semalam, sukar diterima rakyat kerana kebanyakan parti politik di negeri itu masih berkecamuk.

Katanya penggabungan itu mungkin mendapat perhatian kelompok Bumiputera bukan-Islam, tetapi tidak dalam kalangan orang Islam.

Lee Kuok Tiung

Lee juga percaya wujud ketidakjelasan mengenai Gagasan pada masa ini dan tidak dapat dipastikan sama ada ia akan menjadi sebuah parti tunggal atau satu gabungan selepas ini.

“Selain itu, ramai pemimpinnya merupakan ahli politik veteran. Mereka memerlukan lebih banyak orang baru ke dalam Gagasan.

“Bagaimanapun dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan pemimpin dari kem yang bertentangan boleh bekerjasama jika mereka menemui asas bersama,” katanya.

Semalam 3 parti bersetuju untuk bergabung sebagai Gagasan, dengan Anifah sebagai presiden, bagi membentuk satu kumpulan politik baru bagi mencabar parti pemerintah, Warisan.

Penggabungan itu melibatkan Parti Cinta Sabah yang diketuai oleh Wilfred Bumburing; Parti Anak Negeri Sabah pimpinan Henrynus Amin; Parti Gagasan Rakyat Sabah yang dipimpin oleh Dr Ahtiong Tituh; dan Parti Hak Sabah, yang belum didaftarkan, yang diketuai bekas Adun Petagas James Ligunjang.

Perpaduan dalam kalangan parti pembangkang Sabah terus diragui selepas banyak parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri itu meninggalkan gabungan politik tersebut selepas pilihan raya umum ke-14.

Umno dan MCA Sabah kini bekerjasama dengan PAS, Star Sabah dan PBRS walaupun mereka tidak membentuk satu gabungan secara rasmi.

Dalam pada itu, pemimpin PBS, walaupun menyokong rakan kongsi mereka dalam BN, dilihat bekerja secara bersendirian.

PPBM Sabah, yang kini merupakan pembangkang berikutan peralihan kuasa yang berlaku di peringkat nasional, belum membuat apa-apa kenyataan berhubung langkah yang bakal diambilnya di negeri ini.

Pembentukan Gagasan melalui penggabungan beberapa parti menyaksikan jumlah parti politik di Sabah berkurang daripada 15 kepada 12 buah pada masa ini.

Tony Paridi Bagang

12 parti lain ialah PPBM, PBS, Star Sabah, Warisan, SAPP, DAP, PKR, Amanah, Usno, PAS, Umno dan Parti Kebangsaan Sabah.

Tony Paridi Bagang dari UITM Sabah berkata, pembentukan Gagasan akan semakin merancakkan lagi aktiviti politik di negeri ini.

Beliau percaya Gagasan akan dapat mengatasi politik etnik, yang kini mendapat sambutan semula di Sabah.

“Teras perjuangan mereka ialah hak negeri seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Persoalannya ialah sama ada Gagasan mampu mengetengahkan solusi lebih baik untuk Sabah berbanding pesaingnya, terutama Warisan, Pakatan Harapan, Upko, PBS, Star Sabah dan Umno.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *