Pasangan Suami Isteri Ditangkap Disyaki Pengedar Dadah

Polis menjalankan Op Mega Narkotik, operasi rutin yang sebelum ini dikenali sebagai Ice Breaker di sekitar Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Polis menangkap sepasang suami isteri yang disyaki menjadi pengedar dan penjual dadah di sekitar Inanam menerusi Op Mega Narkotik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kota Kinbalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kedua-dua suami isteri itu ditahan bersama 55 suspek yang disyaki terlibat dalam salah guna dadah di daerah ini.

“Kesemua mereka ditahan menerusi operasi yang kita jalankan dalam tempoh seminggu antara 28 Februari sehingga 6 Mac lepas di beberapa lokasi tumpuan yang disasarkan.

“Pasangan suami isteri terbabit yang masing-masing berumur 24 dan 27 tahun itu turut didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya, di sini.

Habibi berkata turut dirampas daripada pasangan berkenaan, satu paket lutsinar berisi syabu dan 65 keratan straw berwarna hijau yang juga berisi syabu seberat 24.10 gram.

Mengulas lanjut, beliau berkata pasangan suami isteri itu ditahan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bersama seorang lagi suspek pengedar dadah.

“Ketiga-tiga mereka turut ditahan bersama 18 tangkapan lain yang ditangkap di sekitar tiga kawasan tumpuan meliputi Sinsuran, Kg Cenderamata dan Kg Air (4 Mac-6 Mac).

“15 suspek ditahan menerusi Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana disyaki memiliki dadah dan 39 lagi melalui Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 selepas diuji positif dadah,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati 45 suspek terbabit melibatkan warganegara manakala 12 yang lain adalah warga asing serta berumur di antara 17 sehingga 44 tahun.

Beliau berkata JSJN Kota Kinabalu akan terus merancakkan operasi serupa dan serbuan dalam usaha memantau, mengesan mengekang aktiviti penagihan dan pengedaran dadah.

“Orang awam perlu menyalurkan maklumat kepada polis untuk meningkatkan lagi usaha membanteras kegiatan jenayah dadah termasuk melalui talian 088-529220,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *