13 Ketua Kampung Di Labuan Keluar PH, Masuk PPBM

Ketua PPBM Labuan Suhaili Abdul Rahman (duduk, 4 dari kiri) bersama 13 ketua kampung yang keluar parti komponen PH untuk menyertai PPBM hari ini. (Gambar Bernama)

LABUAN: Seramai 13 daripada 27 orang ketua kampung di Labuan yang mewakili Pakatan Harapan (PH) hari ini meletak jawatan dengan serta-merta dan menyertai PPBM.

Daripada 13 ketua kampung itu, 5 mewakili Amanah, PKR (5) dan Warisan (3).

Peletakan jawatan mereka adalah susulan kejatuhan kerajaan PH pada 24 Feb lalu sebaik Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan susulan peralihan kuasa daripada PH kepada Perikatan Nasional yang dijangka membentuk Kabinet Selasa depan.

13 yang meletak jawatan hari ini adalah ketua kampung Kg Bukit Kalam, Kg Bebuloh, Sg Lada, Sg Miri, Sg Labu, Lajau, Kg Sg Bangat, Patau-Patau 2, Pohon Batu, Bukit Kuda, Sg Buton, Sg Bedaun dan Lubok Temiang.

Ketua badan pimpinan PPBM Labuan Suhaili Abd Rahman berkata, peletakan jawatan mereka ini disifatkan sebagai keputusan yang sebaiknya dilakukan berikutan ketiga-tiga parti yang mereka wakili telah menjadi blok pembangkang.

“Ia seperti sebelum ini, semasa peralihan kuasa antara Barisan Nasional (BN) kepada PH sebaik pilihan raya ke-14, yang kesemua ketua kampung diminta untuk letak jawatan.

“Tapi hari ini, mereka terlebih dahulu yang meletak jawatan sebelum diminta berbuat demikian,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Suhaili berkata kesemua ketua kampung yang menyertai PPBM adalah juga atas dasar keyakinan kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang merupakan presiden parti itu.

“Saya difahamkan akan ada lagi menyusul meletak jawatan dan menyertai PPBM dalam masa beberapa hari,” katanya.

Bagi Mat Said Harris, 59, yang merupakan ketua penerangan PKR Labuan berkata beliau meletakkan jawatan dan menyertai PPBM adalah bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada penduduk kampung di platform yang lebih kukuh iaitu parti kerajaan. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *