Jeffrey Beri Bayangan Mungkin Dapat Jawatan Di Putrajaya

Pemimpin dan ahli STAR bersorak ketika Jeffrey Kitingan berucap di rumahnya di Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang Sabah, Jeffrey Kitingan memberi bayangan beliau mungkin diberikan peranan dalam Kabinet persekutuan ketika menjelaskan pergolakan politik baru-baru ini dan pendiriannya menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kepada ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Presiden STAR itu berkata, beliau akan memastikan pemimpin Umno mengotakan janji untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), jika parti itu kembali berkuasa.

Katanya, STAR bekerjasama dengan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Kimanis Januari lalu dan Umno ketika itu berjanji akan melaksanakan MA63 “100%” jika mereka memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Walaupun saya berada dalam Kabinet, saya akan berpegang kepada janji mereka untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam MA63,” kata ahli Parlimen Keningau itu yang mendapat sorakan kira-kira 500 ahli di rumahnya di Villa Sokid hari ini.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dalam ceramah di Bongawan, Kimanas pada Januari lalu, berjanji BN akan melaksanakan sepenuhnya MA63, jika ia kembali berkuasa pada PRU akan datang.

Jeffrey pada awalnya mengesahkan beliau menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketika krisis politik berlaku, sebelum mengubah fikiran keesokannya untuk menyokong Muhyiddin.

Beliau antara pemimpin yang menghadiri istiadat angkat sumpah perdana menteri oleh Muhyiddin di depan Yang Di-Pertuan Agong pada 1 Mac lalu.

Katanya, beliau memutuskan untuk menyokong Muhyiddin bagi menamatkan ketidaktentuan politik.

“Jika saya pilih Mahathir atau (Presiden PKR) Anwar Ibrahim, krisis ini tidak akan berakhir, jadi lebih baik menyokong calon ke-3.”

Katanya, beliau sentiasa berhubung dengan ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak sepanjang krisis politik berlaku.

Jeffrey berkata, satu lagi alasan menyokong Muhyiddin ialah beliau mahu mengelakkan “Mahathir sekali lagi mengabaikan desakan Sabah dan Sarawak berhubung MA63” seperti dilakukannya ketika menjadi perdana menteri di bawah kerajaan BN.

“Siapa yang mencetuskan krisis di Sabah ketika itu? Siapa yang memerintah di bawah Umno-BN ketika hak MA63 kami tidak dilayan?

“Jadi, saya mahu mencari peluang di bawah kepimpinan baru dan itu sebabnya saya memilih Muhyiddin.”

Katanya, beliau turut mempertimbangkan siapa yang disokong kerajaan negeri pimpinan Warisan – iaitu Mahathir.

“Jika saya menyokong orang sama seperti mereka, bagaimana saya mahu menggulingkan kerajaan negeri? Jadi, orang yang mereka tidak sokong, kami akan sokong.”

Mengenai kritikan beliau melanggar prinsip sendiri melalui kerjasama dengan PAS dan Umno, katanya, BN-Umno sekarang “tidak sama seperti dahulu”.

“Saya digelar bermacam-macam nama – lompat sini lompat sana, tetapi tak apa, panggil saya apa yang anda mahu, saya bantu tubuh kerajaan baru dan menamatkan krisis politik.”

Katanya, beliau yakin pemimpin Umno dan PAS sekarang tidak seperti pemimpin terdahulu dan beliau “terdengar bisikan” mereka simpati dengan keadaan susah di Sabah.

“Mereka kata ia tidak adil anda dapat 5% (royalti minyak) selama ini dan selebihnya disalur ke Kuala Lumpur. Diharapkan mereka lebih adil daripada kerajaan terdahulu.”

Jeffrey turut mengkritik kerajaan Sabah yang didakwanya “tiada arah”.

“Kami mahu sebuah kerajaan negeri yang berfungsi dengan baik. Sabah dan Sarawak mempunyai banyak potensi, tetapi tiada perhatian diberikan kepada kami. Jadi, kami mahu keutamaan diberikan kepada 2 negeri ini apabila kami mempunyai peranan di peringkat persekutuan.”

Sumber: FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *