Ahli Parlimen Labuan Bersama 4 Pemimpin Parti Letak Jawatan Majlis Penasihat PL

LABUAN, 6 Mac: Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli bersama empat pemimpin parti-parti politik lain meletak jawatan dalam Majlis Penasihat Perbadanan Labuan serta merta.

Empat pemimpin-pemimpin berkenaan adalah ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan merangkap ketua penerangan PKR Sabah Simsudin Sidek, naib ketua bahagian Labuan Parti Warisan Sabah Noor Halim Datuk Zaini, setiausaha DAP Labuan, Wong Kwan Kit dan Dr Ramli Tahir ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Labuan.

Keempat mereka merupakan ahli-ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang diketuai oleh Rozman sebagai pengerusi.
Rozman yang juga ketua bahagian Warisan Labuan dan merupakan pengerusi majlis penasihat itu, berkata perletakan jawatan mereka di dalam majlis pihak berkuasa tempatan Labuan itu adalah berikutan kemelut politik tanah air masa kini.

“Perletakan jawatan kami adalah berdasarkan perkara berikut, kami adalah barisan kepimpinan tertinggi di peringkat Labuan bagi parti-parti politik yang sekarang ini sudah berada di blok pembangkang dan perjawatan dalam majlis penasihat ini bukan terlibat dalam operasi pentadbiran, dengan itu, ianya (perletakan jawatan) tidak menganggu secara mengejut perkhidmatan dan pentadbiran kerajaan kepada rakyat.

“Oleh yang demikian, kami berpendapat, ahli-ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan perlu diisi oleh wakil-wakil dari blok komponen-komponen parti pemerintah,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Rozman berkata beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat sebagai wakil rakyat pembangkang dan mampu menyumbang dengan efektif dalam landskap dan senario politik semasa.

“Saya sebagai wakil rakyat dari Parti Warisan Sabah, juga merasakan sangat sesuai untuk menjadi suara Sabah dan Labuan untuk mengingatkan dan menuntut kerajaan persekutuan bahawa Labuan perlu dibangunkan secara lebih serius dengan memberikan peruntukan yang lebih besar seperti yang dirancang dan dipersetujui oleh kerajaan pusat semasa Labuan di serahkan oleh negeri Sabah secara percuma pada tahun 1984,” katanya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *