UPKO Konsisten, Terus Pertahan Mandat Rakyat

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menegaskan pendirian untuk terus konsisten mempertahankan mandat rakyat yang terserlah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Presiden UPKO merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, UPKO akan terus mempertahankan mandat itu walaupun tampuk kepimpinan negara pada masa ini sudah bertukar tangan.

“Ini adalah pendirian UPKO sejak 10 Mei 2018, yang mana pada ketika itu ahli Majlis Tertinggi (MT) UPKO telah memutuskan untuk menyelamatkan mandat rakyat yang jelas mahukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan.

“Pendirian UPKO ini juga tidak berubah dan kita konsisten mempertahankan mandat rakyat walaupun baru-baru ini berlaku peralihan kuasa di negara ini sehingga menyebabkan parti-parti yang menjadi parti memerintah selepas PRU14 kini menjadi pembangkang,” katanya.

Madius berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Ibu pejabat UPKO di sini, hari ini.

Menurut beliau keputusan PRU14 juga sebenarnya jelas menunjukkan rakyat mahukan perubahan dalam kepimpinan di peringkat negeri Sabah apabila Barisan Nasional tidak mendapat undi majoriti dengan hanya memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri, iaitu UMNO 17 kerusi, PBS (6), UPKO (5), PBRS (1).

Katanya, beberapa parti pembangkang pula, andai  digabungkan, mencatatkan kemenangan  dengan meraih 31 kerusi iaitu Warisan (21), DAP (6,) PKR (2 ) dan STAR (2).

“Namun tindakan parti STAR yang bertanding sebagai pembangkang tetapi kemudiannya melompat ke kem BN menyebabkan mandat rakyat yang sudah diberikan kepada pembangkang mengalami defisit dua kerusi.

“Pada masa itu MT UPKO bermesyuarat dan membuat analisis serta sebulat suara mengambil keputusan untuk selamatkan mandat rakyat dengan menyertai pembangkang, sekali gus memungkinkan kerajaan campuran dibentuk oleh UPKO, Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan,” tambah beliau.

Mengulas perkembangan terkini,  beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata, mandat rakyat yang telah dicabuli pada 29 Februari 2020 juga tidak akan menggugat pendirian UPKO.

“Kita di UPKO bersama Warisan, PKR dan  DAP menghormati kehendak rakyat pada PRU14 yang mahukan Tun Dr MahathirMohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Dalam perkara ini pendirian UPKO hanyalah satu, iaitu terus konsisten memperjuangkan mandat rakyat,” tegas Madius.

Majlis Tertinggi UPKO juga menyatakan sokongan terhadap kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal bahwa kerajaan Sabah akan terus berkerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam perkembangan lain, Madius mengumumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sudah meluluskan resolusi UPKO untuk beberapa perkara termasuk mengubah nama dan bendera parti.

Antara yang hadir dalam mesyuarat tadi ialah Timbalan Presiden Senator Datuk Donald Mojuntin dan empat wakil rakyat, Datuk Ewon Benedick, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Limus Juri dan Datuk James Ratib.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *