Undi Tidak Percaya Terhadap PM Umpama Tidak Percaya Terhadap Agong – Hadi Awang

Datuk Seri Abdul Hadi Awang

MARANG: PAS menyifatkan undi tidak percaya ke atas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama seperti tidak percaya kepada Yang di-Pertuan Agong. 

Justeru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata semua pihak perlu menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. 

Jelasnya terpulang kepada rakyat untuk membuat penilaian dengan tindakan yang dibuat pihak berkenaan. 

“Oleh kerana itu mereka yang cuba balik hendak ungkit undi tak percaya, (sama seperti) tidak percaya pada Tuanku. Tidak percaya kepada Tuanku,  tidak percaya pada Agong. Terpulang kepada rakyat untuk menilai mereka,” katanya dalam sidang media  di Dewan Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) dikatakan akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Usul undi tidak percaya itu akan dibawa ke Parlimen susulan perlantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan dimana PH mendakwa tidak mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden Bersatu itu sebagai perdana menteri kelapan selaras dengan perkara 402(2)(a) dan perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. 

Keputusan itu dicapai selepas ketua-ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat bebas mengemukakan nama calon perdana menteri kepada Agong. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *