Rangkul 3 Emas Walau Tiada Duit Beli Kasut

FILIPINA: Walaupun tanpa kasut sukan sempurna, ia tidak mematahkan semangat seorang budak perempuan di Filipina untuk merangkul tiga pingat emas, baru-baru ini.

Dalam laporan Odditycentral, Rhea Ballos, 11, pelajar sekolah di Balasan itu tiada wang untuk membeli kasut sukan bagi menyertai pertandingan itu.

Namun, dia mempunyai idea apabila menampal jari dan tapak kakinya dengan kain pembalut bagi mengelak kecederaan ketika menghabiskan larian.

Budak perempuan itu biasa berkaki ayam ketika berlari di trek dan ketiadaan kasut sukan bukan penghalangnya bergelar juara.

Atlet muda itu menyertai acara larian 400 meter, 800 meter dan 1,500 meter mengagumkan orang ramai apabila mengambil peluang merakam gambarnya memakai ‘kasut kain pembalut’.

Gambar Rhea tular di laman sosial sehingga menarik minat Jeff Cariaso, bekas pemain bola keranjang dan jurulatih Alaska Aces yang kagum dengan kebolehan budak perempuan itu.

Selepas mendapat maklumat mengenai Rhea, Jeff menghadiahkan sepasang kasut sukan Nike kepada budak perempuan itu, malah rakan sepasukannya juga menerima habuan sama.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *