(VIDEO) Besar Jasamu Cikgu Harry…

Harry memikul kotak berisi peti ais untuk kemudahan murid asrama SK Longkungongon, Penampang. (Gambar kanan) Harry mengangkat barang untuk keperluan murid.

PENAMPANG: Seorang guru sanggup menempuh perjalanan meredah hutan, sungai, bukit, jambatan gantung dan titian kayu sejauh 10 kilometer selama lebih tujuh jam dengan memikul peti ais seberat hampir 40 kilogram.

Itu pengorbanan dilakukan Harry Yanto Bikal, 39, demi menyediakan kemudahan kepada sembilan muridnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Longkungongon, Penampang.

Perjalanan mencabar dilalui Harry atau dikenali sebagai Cikgu Malim Longkunggongon dikongsikan seorang guru kaunselor di Penampang di akaun Facebook (FB) hingga tular.

Harry mengadakan kelas tambahan kepada murid SK Longkungongon, Penampang.

Malah, video berdurasi dua minit 10 saat mendapat tontonan lebih 203,187 dan rata-rata warganet memberi reaksi kagum dengan pengorbanan Cikgu Harry.

SK Longkungongon terletak jauh di kawasan pedalaman yang bersempadan antara dua daerah iaitu Penampang dan Tambunan.

Harry yang dihubungi Harian Metro berkata, peti ais itu dibelinya hasil sumbangan guru di sekolah berkenaan bagi memastikan bekalan bahan mentah seperti ayam, ikan dan sayur mampu bertahan beberapa hari untuk menyediakan makanan kepada murid di asrama.

“Usaha ini sudah lama dirancang kerana tidak mudah untuk mengangkat peti ais dengan keadaan jalan tidak boleh diakses apa sahaja kenderaan.

“Ini kerana laluan untuk ke SK Longkungongon melalui hutan berbukit dan menyeberangi beberapa sungai menyebabkan tiada kenderaan boleh sampai ke situ.

“Namun keadaan itu tidak mematahkan semangat saya dan guru menyediakan yang terbaik kepada murid,” katanya yang mula bertugas di sekolah berkenaan sejak 2017.

Harry berkata, rakaman video itu dilakukan seorang guru yang turut serta bersamanya membeli peti ais itu di pekan Donggonggon, bulan lalu.

“Pada 7 pagi saya bersama rakan tiba di laluan utama selepas menaiki kenderaan dari pekan Donggonggon. Saya dan rakan meneruskan perjalanan sambil memikul peti ais diikat rapi pada belakang dengan menggunakan tali.

“Kebiasaannya saya hanya mengambil masa tiga hingga ke lima jam untuk sampai ke sekolah. Namun dengan memikul peti ais, tempoh masa untuk tiba di sekolah memakan masa selama tujuh jam,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa berhenti beberapa kali untuk berehat selain sentiasa berhati-hati ketika menuruni bukit yang curam dan laluan sungai licin.

Katanya, pada 1 tengah hari, dia bersama rakan selamat tiba di SK Longkungongon.

“Memang sangat penat, malah sehingga kini ada kesan lebam di bahu saya.

“Tetapi apabila menatap wajah murid yang gembira melihat peti ais yang saya bawa…semua penat itu hilang,” katanya yang berasal dari Kota Marudu.

Harry yang pernah mengajar di kawasan pedalaman Kapit, Sarawak berkata, dia hanya mengetahui video itu tular seminggu lalu selepas diberitahu guru di sekolah berkenaan.

“Setiap hujung minggu saya pergi ke pekan Donggonggon untuk membeli beberapa keperluan bagi menyiapkan mini dewan sekolah dan penginapan inap desa.

“Saya berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di Penampang serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak menyalurkan bantuan.

“Kami berharap pihak berwajib dapat membina satu laluan yang boleh dilalui oleh kenderaan untuk sampai di SK Longkungongon,” katanya.

SK Longkungongon mempunyai seramai 11 murid dan sembilan murid tinggal di asrama kerana rumah mereka terletak jauh dari sekolah.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *