Kerajaan Negeri Sabah Kekal

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti WARISAN Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) pada sidang media tentang pendirian Kerajaan Negeri Sabah di Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah yang terbentuk daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) utuh dan kekal bersatu mentadbir negeri.

Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sekiranya ada percubaan untuk ‘membeli’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pihak pembangkang untuk membentuk kerajaan negeri baharu, ia sesuatu yang tidak boleh dihalang.

“Sekiranya itu berlaku, kita tidak boleh paksa dan itu terserah kepada mereka. Semasa saya membentuk kerajaan dulu pun saya tidak pernah ‘membeli’ ADUN.

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti WARISAN Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) pada sidang media tentang pendirian Kerajaan Negeri Sabah di Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

“Tapi sudah sampai masanya budaya politik negara berubah. Kita di Sabah harus tunjukkan nilai yang betul sebagai ahli politik dan juga sebagai pemimpin untuk menjaga kepentingan rakyat di negara ini.

“Saya juga yakin rakan seperjuangan berpegang pada pendirian dan prinsip di mana kepentingan mereka hanya untuk membangunkan negeri dan rakyat Sabah,” katanya dalam satu sidang media khas di sini.

Sidang media berkenaan dilakukan selepas mesyuarat bersama ADUN dan Ahli Parlimen seluruh negeri Sabah bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah ( PPNS ), di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Shafie berkata sekiranya seorang wakil rakyat jelas dengan apa yang dimahukan maka lebih mudah keputusan dibuat.

“Saya yakin kalau kita mempunyai nilai dalam kehidupan, tahu apa yang dimahukan, jelas apa yang dimahukan dalam fikiran, lebih mudah untuk membuat keputusan.

“Jika tidak jelas dari segi nilai yang diamalkan, maka kita akan berada dalam keadaan yang terumbang-ambing. Apakah di minda dan hati kita sebagai wakil rakyat atau pemimpin?

“Saya ada satu perasaan yang kuat kita di Sabah ini kekal teguh dan bersatu,” katanya.

Shafie turut menambah pihaknya kekal dengan pendirian memberi sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan negeri juga kekal dengan pendirian menyokong penuh Tun Dr Mahathir. Bagaimanapun, kerajaan akan meneruskan hubungan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah rakan lama saya dan beliau tahu pendirian saya. Saya juga sudah memaklumkan kepada beliau, saya tetap menyokong Tun Mahathir dan berharap beliau faham,” katanya.

Shafie turut menegaskan kerajaan negeri akan terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan mengenai perkara berhubung dengan hak Sabah terutamanya berkaitan dengan royalti minyak dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Kami masih berunding, namun Kerajaan Persekutuan tidak ditubuhkan dengan betul, bagaimanapun kami sudah mempunyai agenda untuk hak Sabah, yang akan kami selesaikan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *