Ikhlas Ketika Belajar Dan Sentiasa Berdoa Petua Pelajar Cemerlang

Muhamad Azfar Rafiuddin bersama ibunya ketika mengambil keputusan di SMK Sandakan. Foto Ihsan SMK Sandakan

SANDAKAN: Belajar biar ikhlas dan tidak lupa berdoa.

Demikian pesanan pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan, Muhamad Azfar Rafiuddin Anwar, 18, yang memperolehi 9A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan hari ini.

Berkongsi kejayaannya, Muhamad Azfar yang juga pelajar aliran agama itu berkata, selain memberi tumpuan ketika sesi pembelajaran dalam kelas, dia gemar mengulang kaji pelajaran pada sekitar 3 pagi.

Anak kepada pasangan guru dan pengetua itu berkata, dia juga merancang untuk melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi yang menawarkan bidang agama untuk mengejar cita-citanya menjadi peguam syariah.

“Kejayaan saya berkat sokongan ibu bapa dan guru. Ibu bapa saya akan tegur setiap kali saya menghadap telefon atau main ‘game’.

“Mereka juga yang akan bangunkan saya setiap pukul 3 pagi dan buatkan minuman. Ia dorongan terhebat ibu bapa saya,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Siti Jackiah Nur-Ai Shah Mohd Shah yang memperoleh 8A dalam keputusan itu berkata, selain berdoa dan belajar bersungguh-sungguh, dia sentiasa menjaga hubungan dengan ibu bapa dan orang sekeliling kerana ia faktor yang memudahkan proses pembelajaran.

“Selepas ini, saya merancang untuk melanjutkan pelajaran dan mahu pilih bidang agama untuk menjadi peguam syariah,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Sandakan, Albert Bayoi, berkata seramai 16 pelajar daripada 279 calon yang menduduki SPM di sekolah itu mendapat keputusan cemerlang tahun ini.

Katanya, sekolah itu juga mencatatkan 5.60 peratus kelulusan tahun ini.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *