Akibat Tipu Laporan Polis

Tertuduh (tudung merah) dibawa keluar oleh anggota polis selepas selesai perbicaraan di Mahkamah Majistret, Tawau.

TIPU LAPORAN POLIS, REMAJA DIKENAKAN BON BERKELAKUAN BAIK

TAWAU: Seorang remaja perempuan dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan jaminan RM1,500 selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Noor Fazliana Alimudin, 19, didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Mac 2020, di kaunter pertanyaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, pukul 3.47 petang.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa membuat aduan polis bahawa dia disamun seorang lelaki menggunakan parang dan melarikan wangnya sebanyak RM300  di sebuah premis lot kedai, Taman Wawasan, pada 2 Mac 2020, jam 12.20 tengah hari.

Noor Fazliana kemudian bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut, namun polis mendapati ianya tidak berlaku.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bukan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Dzul Elmy Yunus kemudian menjatuhkan hukuman bon yang mana tertuduh perlu berkelakuan baik selama setahun dengan jaminan RM1,500 dan seorang penjamin tempatan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Dayang Nur Azarinawaty Ag Kachee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas memberi amaran kepada masyarakat agar tidak membuat laporan palsu.

“Ia satu perbuatan tidak bertanggungjawab kerana menyebabkan kegusaran masyarakat, pembaziran masa tenaga penyiasat selain pembaziran wang kerajaan kerana kes tidak wujud,” katanya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *