WARISAN Berpegang Pada Prinsip, Bukan Parti Cincai

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak sesekali gentar dengan Kerajaan Persekutuan lebih-lebih status kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang goyah tanpa mendapat sokongan yang cukup daripada ahli Dewan Rakyat.

Ketua Wira Warisan Pusat, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Warisan bukanlah parti ‘cincai’ sebaliknya dianggotai oleh pemimpin pejuang yang telah merasai keperitan berjuang di jalanan sebelum berjaya membentuk kerajaan negeri.

Tegas beliau, pemimpin Warisan sentiasa berpegang kepada prinsip dan kekal bermaruah.

“Jangan ingat Warisan parti cincai, para pemimpin Warisan semua street fighter, sebelum kita menjadi kerajaan negeri kita berani lawan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Apa yang membuatkan dia berfikir kita tidak boleh selamat dalam air pasang sedangkan kita masih lagi kerajaan negeri?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain yang menolak sebarang kerjasama antara UMNO dengan Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan UPKO di Sabah.

Abdul Aziz dalam kenyataannya berkata, wujud desas-desus mengatakan Warisan mahu menyertai Perikatan Nasional, justeru meminta parti itu melupakan sahaja niat tersebut sebaliknya Warisan cuma boleh memberi sokongan kepada Perikatan Nasional demi kebaikan rakyat Sabah.

Sementara itu, Mohd. Azis berkata, Pemuda UMNO Sabah teringin sangat menjadi kerajaan kerana mereka tidak tahan di pihak pembangkang dan cuba bermain persepsi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kedudukan Kerajaan Persekutuan kini masih belum kukuh dan akan teruji menjelang sesi Dewan Rakyat nanti.

“Mengetahui bahawa Kerajaan Persekutuan sekarang masih rapuh kerana tidak mempunyai nombor yang cukup, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berfikir dua kali jika merancang mahu mengganggu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Sabah.

“Jika PH boleh dibuang walaupun mempunyai sokongan yang selesa, apa lagi kerajaan yang masih tidak mencapai nombor diharapkan.

“Ini umpama baru separuh masa pertama perlawanan bola sepak, kita tengok apa yang berlaku pada separuh masa kedua, biar kita pergi ke Parlimen,” katanya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *