(VIDEO) Lelaki Maut Disambar Buaya Di Lahad Datu

Rakaman video yang memaparkan seorang lelaki maut akibat dibaham buaya. Foto Video Tular

LAHAD DATU: Seorang lelaki terbunuh apabila disambar buaya dalam satu kejadian di kawasan tali air Ladang Felda Sahabat 41, dekat Lahad Datu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam, Kaharuddin Aripin, 38, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat serangan reptilia itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian mangsa dan seorang rakan lelakinya berusia 31 tahun keluar menjala ikan di kawasan itu sekitar 3.30 petang.

Menurutnya, selepas selesai menjala ikan dan bersiap untuk pulang, mangsa mencuci jala mereka sebelum diserang dan ditarik buaya ke dalam air.

“Rakan mangsa bergegas pulang ke rumah dan mendapatkan bantuan sebelum usaha mencari mangsa segera dijalankan.

“Pada 11.20 malam, mayat mangsa ditemui dan dilaporkan sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke bilik mayat Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

Sementara itu, satu video memaparkan mangsa digigit oleh buaya turut tular di laman sosial Facebook.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu turut berteriak kegusaran apabila buaya berkenaan enggan melepaskan mayat mangsa.

Namun, akhirnya mayat mangsa dilepaskan buaya terbabit dan buaya itu berlalu ke kawasan lain. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *