PKR Sabah Kekal Sokong Shafie Apdal

Datuk Christina Liew. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: PKR Sabah kekal menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk terus menerajui kerajaan negeri Sabah.

Ketuanya, Datuk Christina Liew mengulangi pendirian parti ketika menjawab dakwaan menyatakan pemimpin parti itu menimbulkan keraguan mengenai kepimpinan Shafie.

“Tuntutan itu tidak benar. Persoalan mengenai keraguan terhadap kepimpinan Shafie tidak timbul sama sekali. Kami adalah sebahagian daripada kerajaan yang dipimpin oleh WARISAN dan tetap berdiri di belakangnya dalam mentadbir negeri ini.

“Kami dengan tegas mengikrarkan sokongan terhadap kepimpinan Shafie demi kepentingan kemajuan dan pembangunan yang lebih besar untuk Sabah.

“Sebagai ADUN Api-Api dan Ahli Parlimen Tawau, saya sepenuhnya menyokong Shafie. Beliau telah membuktikan keberaniannya sejak 21 bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Christina yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah mengimbas kembali bagaimana PKR Sabah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh bekerjasama dengan WARISAN, DAP dan UPKO untuk membentuk gabungan berikutan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

PKR mempunyai tiga kerusi DUN di Sabah.

Mengulas mengenai desas-desus yang menyatakan beliau ingin berpaling tadah dari parti, Christina menegaskan perkara itu adalah mengarut.

“Saya memegang pada prinsip untuk memberi sokongan, kesetiaan dan integriti yang tidak berbelah-bagi,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *