Dua Beradik Dikeroyok 10 Lelaki Di Sembulan

Mangsa dipukul beramai-ramai dalam pergaduhan di sebuah restoran di Sembulan, Kota Kinabalu, malam kelmarin.

KOTA KINABALU: Dua beradik cedera dibelasah sekumpulan 10 lelaki dengan menggunakan topi keledar dan pisau dalam pergaduhan di restoran di Sembulan, Kota Kinabalu, malam kelmarin.

Dalam kejadian 11 malam itu, mangsa berusia 21 tahun bersama adik lelakinya berusia 20 tahun dikatakan menuju ke restoran di Sembulan.

Ketika dalam perjalanan berhampiran restoran itu, dua beradik terbabit terserempak dengan sekumpulan lelaki yang sedang lepak di tepi restoran dan mangsa mendakwa kumpulan lelaki itu sebelum ini pernah mengganggu tunangnya.

Mangsa kemudian memandang ke arah kumpulan lelaki itu sebelum masuk ke dalam restoran berkenaan dan tidak lama kumpulan lelaki itu turut masuk ke restoran berkenaan.

Ketika berada di dalam restoran berlaku jeling-menjeling antara mangsa dengan kumpulan lelaki itu sehingga berlaku pertengkaran mulut.

Tidak lama selepas itu, sekumpulan lelaki menaiki motosikal dipercayai rakan suspek tiba lalu mendekati meja makan mangsa hingga tercetus pergaduhan antara mangsa dan adiknya bersama dengan kumpulan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ada di antara suspek memukul mangsa dan adiknya menggunakan senjata seperti pisau dan topi keledar.

“Kejadian itu berjaya dileraikan orang awam yang berada di restoran berkenaan manakala mangsa dan adiknya yang cedera dibawa ke hospital oleh abang mereka untuk rawatan lanjut.

“Akibat kejadian itu mangsa luka di kening dan bengkak di kepala manakala adiknya koyak di telinga kanan dan luka di kepala dan menerima tiga jahitan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, berikutan kejadian itu, polis dari Cawangan Anti Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan tiga lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan itu.

“Ketiga-tiga suspek lelaki berusia 22, 23 dan 38 tahun ditahan di kawasan Kampung Sembulan, malam tadi.

“Siasatan masih dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi suspek yang disyaki terbabit dalam pergaduhan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 kerana melakukan rusuhan,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *