Tindakan Pantas Orang Awam Berjaya Tahan Peragut Di Kompleks Karamunsing

KOTA KINABALU: Cubaan  seorang lelaki meragut beg tangan seorang wanita di kawasan Kompleks Karamunsing, di sini gagal apabila diberkas orang awam sebelum diserahkan kepada polis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi, suspek berusia 33 tahun itu ditahan orang awam ketika cuba melarikan diri selepas meragut beg tangan wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebelum kejadian mangsa berusia 32 yang bekerja sebagai pembantu rumah dalam perjalanan dari bangunan Wisma Tun Fuad menuju ke Gereja Sacred Heart sebelum didatangi oleh suspek dari arah bertentangan dan merampas beg tangan mangsa.

“Suspek terus melarikan diri melintasi jalan raya menuju ke Kompleks Karamunsing dan mangsa kemudian mengejar suspek terbabit sambil meminta tolong daripada orang awam hingga ke kompleks berkenaan.

“Orang awam yang berada di sekitar kompleks itu kemudian membantu mangsa mengejar suspek hingga ke dalam tandas dan berjaya menahan suspek terbabit,” katanya.

Menurut Habibi, polis kemudian dimaklumkan mengenai kejadian itu sebelum tiba di lokasi kejadian dan menahan suspek terbabit untuk siasatan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan ringan ke atas suspek dipercayai akibat bergelut dengan orang awam ketika tangkapan dilakukan.

“Setakat ini, semua barang milik mangsa berjaya ditemui semula dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *