ADUN Kerajaan Sepakat Sokong Kepimpinan Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan menzahirkan sokongan padu terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk terus memimpin Kerajaan Sabah.

Pengerusinya, Jamawi Jaafar berkata, semua wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) telah memberikan jaminan untuk mereka terus menyokong kerajaan negeri pimpinan Mohd. Shafie di sebalik pertukaran Kerajaan Persekutuan.

“Wakil rakyat daripada blok kerajaan telah memberikan jaminan mereka akan terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri untuk terus menerajui kerajaan negeri sekali pun telah berlaku perubahan di peringkat Kerajaan Pusat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong mengulas beberapa spekulasi liar ketika ini kononnya wujud usaha beberapa wakil rakyat kerajaan keluar parti.

Katanya, sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di DUN Sabah, beliau telah mendapat jaminan daripada semua wakil rakyat kerajaan yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri untuk terus memacu pembangunan dan ekonomi negeri Sabah.

Tambah Jamawi, sebagai wakil rakyat, masih banyak lagi tanggungjawab untuk dilunaskan kepada rakyat di kawasan masing-masing masing yang seharusnya perlu diberikan perhatian selari dengan fokus kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohd. Shafie untuk terus memperkasakan pembangunan dan peningkatan ekonomi rakyat di negeri ini.

“Beberapa spekulasi serta komen-komen daripada penganalisa politik kononnya akan  berlaku perubahan kepimpinan  di Sabah adalah merupakan satu tuduhan yang melulu dan tidak benar,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, berkata wakil rakyat kerajaan bersetuju untuk memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada Ketua Menteri dalam menentukan hubungan negeri dan persekutuan.

“Kita yakin dan percaya bahawa kepentingan rakyat dan negeri Sabah sentiasa menjadi keutamaan Ketua Menteri,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan negeri ketika ini diwakili seramai 43 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), UPKO dan Pakatan Harapan (PH).

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *