Tikam Guru 4 Kali Ketika Tidur, 3 Pelajar Ditahan

Pisau pemotong sayur yang digunakan menikam mangsa.

GURU DITIKAM, TIGA REMAJA DITAHAN

LAHAD DATU: Seorang guru lelaki ditikam empat kali ketika tidur di Kampung Sepagaya Hulu, Batu 6, Jalan Silam, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, mangsa berumur 19 tahun cedera pada leher, bahu dan belakang badan akibat perbuatan oleh dua lelaki tidak dikenali.

Difahamkan, guru berkenaan baru 10 hari mengajar di sebuah madrasah di kampung berkenaan yang mempunyai 20 orang murid.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur di bilik sebuah rumah tidak bernombor.

“Suspek kemudian bertindak masuk ke bilik berkenaan sebelum bertindak menikam mangsa yang sedang tidur menggunakan pisau pemotong sayur.

“Pisau tersebut dikatakan masih terlekat pada belakang badan mangsa sebelum seorang daripada pelajar madrasah di situ, mencabutnya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospial Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Nasri berkata, bertindak daripada maklumat yang diterima, polis menahan tiga remaja lelaki berumur antara 13 hingga 17 tahun bagi membantu siasatan.

“Semua suspek itu adalah pelajar di madrasah tersebut dan direman selama tujuh hari, bermula hari ini.

“Turut dirampas sebilah pisau berukuran 12.7 sentimeter tanpa hulu (pemegang),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Sumber: BerneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *