Muhyiddin Mula Tugas Sebagai PM Hari Ini

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melambai ke arah media ketika memasuki pejabat pada hari pertama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan tugas sebagai Perdana Menteri kelapan hari ini.

Beliau memasuki Perdana Putra di sini, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, tepat jam 8 pagi bagi memulakan tugas secara rasmi sebagai perdana menteri.

Muhyiddin disambut Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali ketika tiba di Perdana Putra sebelum dibawa ke Aras 5, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.

Muhyiddin tiba di pejabatnya, di sini, untuk memulakan tugas sebagai perdana menteri hari ini. -Foto JAPEN

Sebelum memasuki pejabat, Muhyiddin mengimbas kad perakam waktu dan mengaminkan bacaan doa.

Selepas memasuki pejabatnya, beliau menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara semalam.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pada hari pertamanya, Muhyiddin mempunyai jadual temujanji dengan Mohd Zuki, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *