Dua Warga Filipina Ditahan Dalam OP Bersepadu PATI

KOTA KINABALU: Operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di pusat bandaraya ini terus dipergiatkan dengan penangkapan dua orang PATI warga Filipina, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan itu dibuat dalam Op Bersepadu PATI peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Kota Kinabalu yang dijalankan selama enam jam bermula 2 petang hingga 7.30 malam.

Beliau berkata, daripada 25 orang yang diperiksa di lima lokasi berbeza sekitar pusat bandaraya, dua warga Filipina berusia antara 19 hingga 50 tahun telah ditahan berikutan kegagalan menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Sementara, 23 orang dibebaskan setelah pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imegresen Malaysia (JIM) dengan pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat pemeriksaan dokumen-dokumen pengenalan diri bagi individu yang ditahan untuk diperiksa.

”Mereka dibebaskan setelah pihak keluarga dan majikan mereka memberi kerjasama dengan menghantar Kad Pengenalan dan pasport asal untuk tujuan pemeriksaan.

”Operasi bersepadu ini dijalankan dengan kerjasama JPN, JIM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan pemantauan daripada SPRM.

“Tumpuan lokasi operasi sekitar kawasan pusat bandaraya yang mana kadar pertumbuhan Pendatang PATI yang mengundang kepada kegiatan Jenayah di daerah Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kesemua yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imegresen 1959/63.

Tambahnya, operasi sebegitu akan diteruskan pada masa akan datang dan orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada balai polis berhampiran atau melalui Facebook rasmi IPD Kota Kinabalu.

Maklumat juga boleh disaluran melalui aplikasi Whatsapp IPD Kota Kinabalu di talian 0192182729. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *