45 Kayu Balak Dirampas

Aktiviti pembukaan tanah kerajaan melibatkan pembakaran secara terbuka di tanah kerajaan di Kampung Kasuing, Keningau. Foto Ihsan Jabatan Perhutanan Sabah

KENINGAU: Sebanyak 45 kayu balak dirampas dan seorang lelaki ditahan Penguatkuasa Wilayah Keningau dan Kudat, Jabatan Perhutanan Sabah selepas disyaki terbabit dalam kes pembukaan tanah kerajaan dan menebang secara haram.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd Jaini berkata Penguatkuasa Wilayah Keningau menahan suspek itu pada 28 Februari lalu.

“Lelaki itu didakwa terbabit menebang dan mengumpul kayu balak secara haram di Kampung Kasuing dekat ini. Turut disita adalah traktor, 11 balak dan lebih kurang 300 kayu terubah pelbagai saiz.

“Tangkapan dibuat atas kesalahan di bawah Seksyen 23(2) Enakmen Hutan 1968 dan dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah untuk ketetapan selanjutnya,” katanya

Menurutnya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 dan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Sementara itu dalam kejadian berasingan pada 26 Februari lalu, pasukan Penguatkuasa Wilayah Kudat menyita lima traktor berhampiran Kampung Tagibang, Ranau dan semua jentera disyaki digunakan untuk mengumpul balak di tanah kerajaan tanpa sebarang kelulusan atau permit yang sah.

“Turut disita adalah 34 batang balak yang dikumpul di beberapa kawasan berasingan. Ketika serbuan dibuat oleh penguat kuasa, tidak ada pekerja ditemui dan lima traktor ditemui di beberapa lokasi berasingan.

“Kes ini sedang disiasat oleh Jabatan Perhutanan Sabah di bawah Seksyen 23 (2) Enakmen Hutan 1968 dan kertas siasatan kelak akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Sabah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *