Tukang Kasut, Punca Rezeki Masdi Gadius Di Pekan Tamparuli

Masdi Gadius

TAMPARULI, 1 Mac: Setiap hari, Masdi Gadius perlu berjalan kaki sejauh enam kilometer dari kediamannya di Kampung Nawoi untuk ke Pekan Kiulu bagi mencari rezeki sebagai tukang kasut.

Masdi, 34, yang masih bujang akan tiba di pekan itu seawal 6 pagi sebelum memulakan perniagaan kecil-kecilannya membaiki kasut di bawah pokok berhampiran deretan kedai sejak 2015.

Sungguhpun tidak memiliki premis berbumbung yang lebih selesa, anak muda etnik Dusun itu mampu meraih pendapatan RM1,000 hingga RM2,000 sebulan hasil memberi perkhidmatan membaiki kasut.

“Setakat ini, saya berupaya menyiapkan kerja membaiki kira-kira 30 pasang kasut sehari, dengan mengenakan bayaran serendah RM7 hingga RM55 perkhidmatan diberikan kepada pelanggan,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau yang belajar sendiri kaedah membaiki kasut rosak tidak merasa malu melakukan pekerjaan itu, sebaliknya bangga kerana dapat bersaing dalam bidang yang ramai diceburi rakyat asing itu.

Anak kedua daripada empat beradik itu pernah bekerja sebagai pembantu restoran, di kilang dan stesen minyak di Kuala Lumpur dengan gaji RM1,000 sebulan, namun terpaksa berhenti kerana pendapatan tidak cukup untuk menampung hidup.

“Saya terpaksa kembali ke kampung halaman untuk membantu keluarga, memandangkan ketika itu ayah saya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah, manakala ibu suri rumah,” katanya yang berjaya membuktikan sumber rezeki halal itu ada di mana-mana, asalkan kaedah memperolehnya betul dan tidak mengganggu hak orang lain.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *