Anggota PGA Samun Penduduk Di Pitas Positif Dadah

Zaini Jass

TAWAU: Salah seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditangkap dipercayai terlibat kes samun bersenjata di Pulau Lundayan, Pitas kelmarin didapati positif dadah selepas keputusan ujian air kencingnya diterima semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, semua suspek termasuk dua anggota PGA sudah ditahan dan disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

“Kita akan menjalankan siasatan ke atas semua suspek mengikut prosedur siasatan seperti biasa, tiada keistimewaan diberikan kepada suspek anggota PGA terbabit,” katanya semasa diminta mengulas perkembangan kes berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan senjata api yang digunakan dalam kejadian itu sudah dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kita belum boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana kes masih dalam siasatan dan setakat ini siasatan awal mendapati kesemua suspek baru melakukan jenayah ini, tiada laporan mereka sudah lama melakukan jenayah itu,” katanya.

Terdahulu, media semalam melaporkan kejadian tiga lelaki termasuk anggota PGA melepaskan tembakan sebelum menyamun beberapa penduduk di Pulau Lundayan.

Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi dan salah seorang daripada suspek memegang selaras M16 yang menaiki sebuah bot sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke udara untuk tujuan menyamun penduduk di kawasan itu.

Suspek juga dikatakan turut memukul dan menendang beberapa penduduk sebelum mengarahkan dua penduduk kampung membeli syabu di pulau berdekatan.

Sementara itu, Zaini turut menasihatkan semua media untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan kegusaran masyarakat di negeri ini ekoran senario politik tanah air.

“Sabah tidak terjejas dengan keadaan politik negara yang masih dalam tanda tanya malahan negeri kita masih aman dan selamat,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *