Muhyiddin Mohon Rakyat Terima Keputusan Istana

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan kesyukuran dan terima kasih selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Dalam ucapan ringkasnya kepada media, Muhyiddin menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong serta semua pihak yang sentiasa menyokongnya sepanjang kecelaruan politik negara tercetus.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu turut mengharapkan seluruh rakyat Malaysia menerima dengan hati terbuka keputusan yang diumumkan Istana Negara itu.

“Saya menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan moral kepada saya.

“Kita telah pun beristiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah yang diberikan Allah kepada saya.

“Saya hanya memohon untuk seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan diumumkan Istana Negara hari ini,” katanya kepada pemberita di hadapan kediamannya di Bukit Damansara di sini, hari ini.


Terdahulu, Muhyiddin keluar bertemu wartawan dan jurugambar bersama isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman, anak serta cucunya selepas mendapat makluman diperkenan menjadi Perdana Menteri kelapan.

Ia bermakna Muhyiddin akan mengetuai Perikatan Nasional membentuk kerajaan yang terdiri daripada BERSATU, UMNO, PAS, MIC, MCA dan beberapa parti lain.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memaklumkan bahawa majlis angkat sumpah Perdana Menteri dijangka akan diadakan jam 10.30 pagi di Istana Negara, esok.

“Saya dimaklumkan bahawa majlis mangkat sumpah akan diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong esok jam 10.30 pagi.

“Insya-Allah saya akan berada di Istana Negara esok,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *