Kumpulan Azmin Sah Sertai BERSATU

Mohamed Azmin

KUALA LUMPUR: Seramai 10 bekas Ahli Parlimen PKR yang diketuai Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disahkan menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkuat kuasa hari ini.

Sumber dalaman parti mengesahkan perkara itu, yang mana Ahli Parlimen berkenaan turut bersetuju dengan pencalonan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri kelapan yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selain Mohamed Azmin, turut menyertai BERSATU ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).

Seorang lagi, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar menjadi ahli bersekutu parti itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yassin antara kumpulan 11 diterajui Mohamed Azmin yang mengisytiharkan meninggalkan PKR.

Namun, difahamkan Jonathan tidak hadir ke mesyuarat Ahli Dewan Rakyat BERSATU di Yayasan Al-Bukhary hari ini, malah tidak menghantar sebarang permohonan menyertai parti itu.

Dengan perkembangan terbaharu itu, bermakna hanya 10 Ahli Parlimen PKR yang keluar parti setakat ini sejak kemelut politik semakin panas bermula Ahad lalu.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *