Murid Dari Nabawan Wakili Malaysia Ke Tarian Piala Dunia Di Itali Jun Ini

KENINGAU – Murid daripada tiga sekolah di Nabawan dekat sini, bakal mewakili Malaysia untuk mempamer persembahan di pentas antarabangsa apabila terpilih ke pertandingan akhir Tarian Piala Dunia di Rome, Itali, pada 26 Jun hingga 4 Julai ini.

Ia susulan murid berkenaan yang mewakili pasukan Pejabat Pendidikan Daerah Pensiangan, memenangi satu pingat emas dan satu pingat perak pada pertandingan kelayakan Tarian Piala Dunia yang berlangsung 21 hingga 23 Februari lepas di Penampang.

Pingat emas dimenangi menerusi kategori ‘Children Small Group National and Folklore’ bawah 13 tahun yang juga kumpulan gabungan disertai oleh murid daripada tiga sekolah di Nabawan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nabawan, SK Salarom dan SK Logongon.

Mereka terdiri daripada Juhair Junaidi, Jurannizah Aizah Asyikin Jaslum dan Nur Farhana Atiqah Dalma (SK Pekan Nabawan), Ezron Rommy Ekrone (SK Salarom) dan Danish Denial Rukiting, Meldin Marudin (SK Logongon).

Pingat perak dimenangi murid tahun empat SK Pekan Nabawan, Adriel Izanan Azlie dan Shazwany Daniela Akuang bagi kategori ‘Children Duet/Trio National and Folklore’.

Guru pengiring, yang juga guru kebudayaan SK Pekan Nabawan, Ardianfasly Inggu berkata usaha murid yang didorong sokongan guru serta kerjasama daripada ibu bapa penting dalam kejayaan ini.

“Peringkat awal persediaan pasukan ini, kewangan sepenuhnya menggunakan duit guru-guru sendiri dengan kerjasama ibu bapa termasuk penyediaan busana, muzik, pengangkutan, penginapan dan makan minum murid,” katanya kepada Bernama di sini.

Justeru, katanya, selain memberi tumpuan terhadap latihan persediaan murid, turut diusahakan adalah mencari dana bagi menampung kos perbelanjaan untuk ke Itali.

Jelasnya, murid yang terlibat terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan daripada aspek ekonomi.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Pensiangan, Norah Marcus menyifatkan pencapaian murid ini adalah hasil usaha yang gigih melalui latihan yang berterusan, disiplin dan komitmen tinggi daripada murid dan guru yang menjadi jurulatih.

Kejayaan murid ini juga selari dengan sasaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk mencapai 200 murid menyertai pertandingan antarabangsa pada 2020. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *