Antara Kerajaan Perpaduan Dan Kerajaan Reformasi

Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad. – Foto BERNAMA

Konsep dicadangkan oleh Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk ‘Kerajaan Perpaduan’ masih kabur.

Definisi ‘perpaduan’ yang difahami parti politik yang menguasai Parlimen atas mandat rakyat adalah ia tidak semestinya dengan menjadi ahli Kabinet.

Perkara yang ironi dalam hal ini adalah Dr Mahathir menjadikan kuasa Perdana Menteri sebagai penentu tanpa perlu mengambil pandangan ketua-ketua parti secara konsensus untuk melantik senarai Jemaah Menteri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hampir dua tahun lalu, Pakatan Harapan (PH) diberikan mandat oleh rakyat.

Kehadiran PH di Putrajaya adalah untuk mereformasikan institusi kerajaan bagi memelihara kepentingan negara dan perpaduannya.

Kehadiran PH di persada kuasa adalah atas mandat rakyat, kehendak rakyat yang mahukan perubahan dengan usaha melawan rasuah, memulihkan tatakelola kewangan yang bobrok dan menuntut keperibadian pemimpin yang telus dan bertanggungjawab.

Ini adalah hasrat murni untuk memelihara perpaduan dan PH cuba memenuhinya selama hampir dua tahun.

Pembentukan kerajaan dengan mandat ini memandu Kabinet PH untuk cuba memenuhinya melalui manifesto yang dipersetujui oleh parti-parti PH. Kenapa tiba-tiba semua ini ‘dibuang’ dengan konsep ‘Kerajaan Perpaduan’ yang masih kabur?

Kerajaan PH telah membawa usaha-usaha memulihkan negara dengan meletakkan dasar-dasar utama seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Negara RAHMAH (Rahmah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat), Pelan Induk Memerangi Rasuah dan pengisytiharan harta anggota Kabinet dan Ahli Parlimen.

Akta-akta pula dibawa untuk memenuhi tuntutan reformasi Akta Parlimen, antara lain adalah kelayakan umur mengundi pada usia 18 tahun, menarik balik Akta Antiberita Tidak Benar, pindaan untuk memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963), Akta Profesion Guaman Syarie dan lain-lain lagi.

Semua usaha ini yang baru berumur tidak sampai dua tahun diganggu-gugat dengan nuansa perkauman, agama sempit dan politiking berterusan oleh pembangkang yang menggugat stabiliti dan perpaduan.

Sepatutnya, Kerajaan PH perlu dipertahankan kerana isunya bukan hendak menggantikan sistem dengan ‘Kerajaan Perpaduan’, tetapi meneruskan usaha reformasi demi memelihara perpaduan.

Mereka yang menggangu-gugat perpaduan dengan pelbagai sabotaj kepada usaha pemulihan, termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan lain-lain sepatutnya diambil tindakan, bukan dengan cubaan menjatuhkan Kerajaan PH yang hadir untuk perpaduan atas asas ketelusan dan demokrasi.

Mungkin apa yang Tun Dr Mahathir sebut bahawa ‘Kerajaan Perpaduan’ banyak cabarannya memang betul, tetapi menafikan usaha reformasi selama hampir dua tahun ini atas alasan politiking adalah keterlaluan.

Orang lain buat onar, tiba-tiba PH sebagai kerajaan reformasi pula dikatakan gagal?

Penulis ialah Naib Presiden AMANAH merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *