Terjaga Dari Tidur, Dengar Suara Minta Tolong

Mangsa rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Foto Ihsan Bomba

MEMBAKUT: “Saya mendengar suara wanita meminta tolong tetapi saya tidak berupaya untuk membantu.“

Cerita Halimah Salleh, 50, yang menjadi saksi kebakaran yang membabitkan tujuh sekeluarga mati rentung, awal pagi ini, di Kampung Bandau, di sini.

Suri rumah yang berasal dari kampung itu, berkata beliau terjaga dari tidur awal pagi tadi apabila mendengar bunyi letupan besar sebelum menyedari api sedang marak.

Api marak memusnahkan sebuah rumah meyebabkan tujuh mangsa rentung dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi tadi. – Foto Ihsan Bomba

“Saya terjaga sekitar jam 1:15 pagi apabila mendengar bunyi letupan yang besar. Kemudian, saya dapati rumah sebelah terbakar dan api begitu besar.

“Saya mendengar suara wanita yang saya rasakan, isteri kepada tuan itu meminta tolong. Tetapi apakan daya saya tidak mampu berbuat apa-apa.

“Melihat api yang besar sebegitu, anak lelaki saya, Arianto segera menghubungi bomba. Sehingga kini, apabila saya lihat rumah itu saja saya tidak dapat menahan air mata.

“Suara meminta tolong itu juga masih jelas kedengaran di telinga saya sehingga kini,” katanya ketika ditemui BH.

Sementara itu, Arianto Amal, 29, berkata dia segera menghubungi bomba apabila melihat api marak di rumah terbabit.

“Sementara menunggu bomba sampai, saya dan orang kampung berusaha memadamkan api. Tetapi semuanya sudah terlambat,” katanya.

Terdahulu, tujuh sekeluarga rentung selepas rumah kayu didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Lampijas, Membakut, dekat Beaufort, awal pagi ini.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *