PKR Kemuka Anwar Sebagai PM Ke-8?

KUALA LUMPUR: Spekulasi siapa Perdana Menteri terus menimbulkan tanya tanya selepas Ahli Parlimen PKR menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8.

Beberapa Ahli Parlimen PKR yang ditemui mengaku mempersembahkan nama Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew berkata, beliau sudah menandatangani akuan bersumpah menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Kami bagi sokongan penuh (kepada Anwar) sebagai Perdana Menteri ke-8.

“Baru sebentar tadi kami tandatangan SD (akuan bersumpah) dan setakat ini PKR berdiri di belakang Anwar.

“Saya percaya Amanah dan DAP bersama dengan kami, kami selalu bersama,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, PKR yakin mendapat sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, PKR akan mengeluarkan satu kenyataan media hari ini.

Sebelum itu, Anwar dilihat meninggalkan Istana Negara pada 12.40 tengah hari diikuti bas membawa pemimpin mereka pada 12.50 tengah hari.

Sebahagian besar pemimpin melambai tangan kepada petugas media yang ‘berkampung’ di kawasan itu sejak semalam.

‘Semua ‘ok’,” kata sebahagian mereka yang berada di dalam bas.

Senyuman yang terukir diwajah kebanyakan Ahli Parlimen PKR juga menunjukkan seolah-seolah pertemuan mereka dengan baginda yang juga Ketua Negara, berlangsung dengan baik.

Laungan ‘Reformasi’ oleh lebih 100 penyokong PKR yang memenuhi tepi jalan kembali kedengaran sebaik bas membawa pemimpin mereka keluar dari pintu dua Istana Negara.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *